18 April 2014

Baiki mutu urus sisa pepejal ikut syor Laporan Audit Negara - Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (tengah), Ong Ah Teong (kiri) dan Ang Aing Thye (kiri) pada sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow meminta mutu pengurusan sisa sampah di negeri ini terus ditingkatkan walaupun diklasifikasikan pada tahap memuaskan menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Pulau Pinang.

“Secara umumnya, kita (Kerajaan Negeri) menyambut baik Laporan Ketua Audit Negara ini, dan kita perlu melakukan tindakan segera sebagaimana yang disyorkan dalam laporan penting itu.

“Ini kerana, mutu pelanggan dianggap berjaya dicapai apabila semua syor ini ditangani segera,” ujar Kon Yeow kepada wartawan di sini baru-baru ini, selepas mendapatkan maklum balas lanjut daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Ahli Majlis bagi MPPP, Ong Ah Teng turut memberi respons pada sidang media itu.

Sebelum itu, Setiausaha bagi MPPP, Ir. Ang Aing Thye dan Pengarahnya dari Bahagian Perkhidmatan Perbandaran, Mubarak Junus membentangkan punca serta kaedah penyelesaian pada beberapa kelemahan yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Pulau Pinang.

Kon Yeow memberitahu, pihaknya akan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana disyorkan dalam laporan itu.

Laporan itu antaranya menyebut mengenai pencemaran di jalan raya akibat tumpahan air kurasan yang tidak dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kontraktor berwajib.

Menurut laporan itu lagi, PBT turut disebut tidak mempunyai lori kompaktor yang cukup hingga perkhidmatan mengutip sampah tidak cekap.

Selain itu, berat sisa pepejal yang dilupuskan oleh kontraktor disebut tidak mencapai berat minimun sebagaimana dipersetujui dalam kontrak.

Isu tong sampah awam tidak memenuhi piawaian serta aduan mengenai sisa pepejal tidak diambil tindakan turut disebut dalam laporan tersebut. 

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, pengauditan yang dijalankan pada bulan Mac hingga Jun tahun lepas secara keseluruhannya pada tahap memuaskan.

No comments:

Post a Comment