15 March 2014

Mengayakan Manfaat Infaq Wahana Ekonomi Manusiawi & Pelancaran Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat, serta membelanjakan sebahagian harta daripada rezeki yang kami infaqkan kepada mereka.” [Surah Al-Baqarah: 3]

Ekonomi bukan angka, tetapi kemanusiaan. Sebab itu, terdapat perihal zakat, wakaf, ghanimah, sedekah dan infaq dan sebagainya yang nyata dekat dengan keperluan kemanusiaan kita, tak kira orang Islam atau bukan Islam.

Maqasid asy-Syariah dalam bab muamalat, politik (siasah) hatta ekonomi sendiri adalah mesti membawa kebaikan terbanyak (maslahah mujtamak) kepada manusia seperti kasih sayang dan saling membantu.

Kertas kerja ini akan membicarakan mengenai projek mengayakan manfaat infaq untuk pembangunan ekonomi PAS Pulau Pinang.

Pada hujung kertas kerja ini akan diperjelas mengenai cadangan mengeyakan manfaat infaq untuk pembangunan ekonomi PAS Pulau Pinang menerusi projek ‘Tabung Amanah Angsa Telur Emas’.

“Perubahan Hukum Disebabkan Perubahan Zaman, Tempat & Keadaan."
Umum mengetahui bahawa pengagihan harta rampasan perang (ghanimah) menjadi hak mereka yang berhak dan asal hukumnya (al-hukmu li zatihi) adalah wajib.

Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“Ketahuilah, sesungguhnya apa saya yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan...” [Surah Al-Anfal: 41]
Namun, Khalifah Umar pernah menangguhkan pengagihan ghanimah di Iraq atas alasan untuk memelihara kepentingan penduduk di sana  sendiri.

Selain itu, menurut Khalifah Umar al-Khattab, keadaan tentera di zamannya adalah lebih baik berbanding pada zaman Rasulullah S.A.W dan zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq.

Maka, Khalifah Umar menyimpulkan ayat 6 hingga 10 daripada Surah al-Harsy untuk ditathbiqkan (diterapkan) pada hukum maqasid asy-syariah.

Ghanimah diuruskan oleh Baitul Mal dengan manfaatnya diagihkan kepada para pejuang Islam menerusi sistem gaji.

Kebijaksanaan Khalifah Umar al-Khattab ini berasaskan dalalatun nas ayat 7 Surah al-Harsy yang menyebut, “...supaya harta itu tidak berlegar di antara orang-orang kaya sahaja daripada kalangan kamu...

Menurut golongan al-Maqasidi, pembahagian ghanimah ini bukanlah nas berbentuk larangan yang membawa maksud haram jika tidak melaksanakannya. 

Maka, mereka berpendapat bahawa ‘illat hukum (baca: bahagi ghanimah) tidak dapat dilaksanakan demi mengelak kepentingan umum yang lebih penting dari terbiar jika dilaksanakan (baca: hak pribumi diabaikan, selain bertujuan untuk mengayakan manfaat ghanimah untuk generasi terkemudian)

Walaupun kebijaksanaan Khalifah Umar al-Khattab ini adalah di bawah Ijtihad tathbiqi (ijtihad di lapangan), tetapi kehukuman yang mendatang ini (al-hukmu li ghairihi) ini bukanlah bersifat mutlak, sebaliknya tergantung pada kesesuaian masa, tempat dan keadaan sesuatu yang berubah itu.

Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut, “perubahan hukum disebabkan perubahan zaman-zaman, tempat-tempat dan keadaan-keadaan.”

Mengayakan Manfaat Infaq
Seperti dalam ijtihad Khalifah Umar yang jelas membawa maksud, “perubahan hukum disebabkan perubahan zaman-zaman, tempat-tempat dan keadaan-keadaan,” maka, ijtihad serupa mahu dilaksanakan melalui Projek ‘Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas’.

Umum mengetahui bahawa salah satu sumber ekonomi PAS adalah daripada infaq ahli-ahlinya serta rakyat yang menyokong parti masa depan itu.

Penubuhan Projek ‘Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas’ ini menumpa pada aspek mengayakan manfaat infaq sahaja, bukan menafikan hak pemberi dan penerima infaq tersebut.  

Sebelum menerima atau menolak projek ini, elok diperjelas mengenai Tabung Angsa Emas ini kerana kaedah fiqh pun menyebut, “hukum ke atas sesuatu itu adalah sebahagian gambarannya (yang dihukumkan itu).”
1. Sasaran 1,000 penderma daripada 28,000 ahli PAS Pulau Pinang untuk menguti RM1 juta sedekah dalam masa 12 bulan
2.    Setiap perserta wajib menderma RM1,000 setahun atau RM84 tiap-tiap bulan.
3.    Kaedah pemotongan melalui akaun Maybank penderma sendiri.
4.  Sasaran penyertaan adalah lapan penderma daripada setiap 130 cawangan PAS Pulau Pinang.
5.    Dijangkakan PAS Pulau Pinang akan diberi manfaat simpanan dalam bentuk deviden bank 8 peratus setahun atau RM80,000.
6.  Daripada RM80,000 manfaat sedekah itu, RM50K untuk pentadbiran Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas, manakala, RM30,000 lagi untuk tadbir urus PAS Pulau Pinang.
Hukum asal (al-hukmu li zatihi) sedekah adalah harus, melaksanakannya beroleh pahala.

Hukum mendatang (al-hukmu li gharihi) adalah wajib kepada lapan peserta di setiap cawangan dengan syarat-syarat berikut (al-hukmu ‘ala syurutihi):

1.    Kewajipan ini selagimana saling diredhai oleh peserta dan pemegang Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas.

2.    Kewajipan ini terbatal apabila menafikan maqasid muktabarah yang lain. (Contoh: hak isteri dan anak diabaikan oleh suami yang menyertai projek Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas.

3.       Kewajipan ke atas peserta terhad dalam ruang lingkup 12 bulan sahaja.

Semoga projek mengayakan manfaat infaq yang diijtihadkan seperti di atas mendekati maksud nas al-Quran yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat, serta membelanjakan sebahagian harta daripada rezeki yang kami manfaatkan kepada mereka.”
[Surah Al-Baqarah: 3]
Wallahu ‘alam.



_____________
  • Kertas Kerja ini dibentangkan sempena Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pelancaran Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas di Auditorium C, Komtar pada Sabtu 15 Mac 2014, jam 9.30 pagi.
  • Pembentang, Zolkifly Md. Lazim merupakan Ketua Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang. Beliau boleh dihubungi menerusi nombor telefon 0124810070 atau emel zolazimpj16@gmail.com. Pembentang merupakan pencetus idea menubuhkan Tabung Amanah Angsa Bertelur Emas.
  • Penulis, Zainulfaqar Yaacob merupakan Ahli PAS Seumur Hidup bagi Kawasan Batu Kawan. Beliau adalah fotojurnalis dan boleh dihubungi menerusi nombor telefon 0194241583 atau emel zainulfaqary@gmail.com.

No comments:

Post a Comment