26 March 2014

Hasrat bincang bakat mahasiswa P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KUALA LUMPUR – Kolokium Majlis Perwakilan Mahasiswa Pulau Pinang di perantauan malam tadi bersetuju untuk mengadakan sekali lagi retreat bersama-sama wakil Kerajaan Negeri di George Town dalam masa terdekat.

Jurucakapnya, Fahmi Zainol (gambar) berkata, pertemuan akan datang diharap menjurus pada perbincangan mengenai partisipasi mahasiswa di perantauan, khususnya di sekitar Lembah Klang terhadap kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri dalam tempoh enam tahun ini.

“Kita harap upaya dan bakat mahasiswa di perantauan boleh dimanfaatkan mengikut dimensi Kerajaan Negeri,” ujar Fahmi yang juga anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Timbalan Pengerusi Majlis Politik Nasional (MPN) bagi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Siti Zubaidah Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan Abdul Muqit Muhammad (Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional) turut memberi sumbang saran berhubung kaedah memperkuasa pertubuhan anak negeri di perantauan.

Lebih 20 perwakilan pelbagai etnik dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) serta Pra-Universiti hadir pada majlis interaksi dan jamuan malam di Sekretariat MPMUM dekat Universiti Malaya di sini.

Hadir sama, Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang merangkap Presiden D'BM Hospital, Zolkifly Md. Lazim (paling kiri), Ustaz Izham Hashim (Presiden Persatuan Membela Anak-Anak Yatim Mutiara Infaq Malaysia) dan ‘DAP Melayu’ Khairul Ishak.

Zolkifly dalam ucapannya menjelaskan mengenai kejayaan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, termasuk peranan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Kolokium malam tadi antara lain membincangkan mengenai kreativiti mahasiswa dalam pembangunan belia Pulau Pinang era Pakatan Rakyat.

“Hasil kolokium ini, kita sedang merangka (idea) apa yang kita sebut Penang Youth For Change yang dibincangkan pada retreat di Pulau Pinang nanti,” jelas fahmi.

Dalam perkembangan berkaitan, delegasi dari Pulau Pinang sebelum itu turut mengadakan pertemuan ringkas dengan Naib Presiden II GAMIS, Mohamed Bukhary Sofian dan Pengerusi Sekolah Pemikir Muda (SPM) Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) Sheikh Umar Bagharib dekat Petaling Jaya, Selangor. 

No comments:

Post a Comment