20 March 2014

Dr. Wu Lien-Teh inspirasi P.Pinang - Guan Eng

ACARA perasmikan tugu peringatan Dr. Wu Lien-Teh dalam satu majlis berasingan di sini baru-baru ini. Pada tugu peringatan tersebut, tertara tulisan "Arca gangsa ini dihadiahkan kepada rakyat Pulau Pinang oleh The First Affiliated or Harbin Medical University dan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Tuan Lim Guan Eng pada 9hb Mac 2014.
LIM Guan Eng bersama-sama dif kehormat lain pada Majlis Jamuan Malam Simposium Dr. Wu Lien Teh di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Penang Institude (PI) dengan kerjasama Kolej Perubatan Pulau Pinang (PMC) baru-baru ini menganjurkan Simposium Dr. Wu Lien-Teh sebagai mengingati kejayaan tokoh revolusi itu di negeri ini dalam menggulingkan Dinasti Qing serta menubuhkan Negara China Moden.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap, kekayaan nilai sejarah lampau dan prospek ekonomi masa depan yang wujud di Pulau Pinang dapat menjadi inspirasi istimewa kepada rakyat serta mereka yang melancong ke negeri ini.

"Dr. Wu memang inspirasi kepada kita semua.

"Apa yang kita lihat sebagai wilayah kecil bersejarah George Town Tapak Warisan Dunia sebenarnya adalah hasil daripada penyatuan warisan agama, sosial , ekonomi dan politik.

"Dalam erti kata lain, ia adalah pertemuan pelbagai budaya dan etnik yang telah membuat, dan terus membuat, Pulau Pinang tempat yang istimewa," ujar beliau pada majlis jamuan malam itu di sini.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif PI, Zairil Khir Johari, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Difahamkan, Pengarah Universiti-Universiti bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Prof. Tony Capon membuat perbentangan ilmiah pada sebelah siang forum tersebut, manakala, Pengarah Kolej Perubatan Pulau Pinang, Professor of Medicine, Professor Amir S. Khir pula menyampai ucapan alu-aluan pada simposium tersebut.

Menurut Guan Eng, sumbangan Dr. Wu serta penyokongnya seperti penubuhan akhbar bercetak Kwong Wah Yit Poh di negeri ini demi menggerakkan revolusi China masih boleh dilihat sampai sekarang.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk kewujudan Kriteria Press pada tahun 1883, adalah syarikat pertama untuk menerbitkan akhbar dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina, iaitu Chahyah Pulau Pinang , The Straits Echo, dan The Penang Sin Poe.

Tambahnya, Pulau Pinang wajar dibanggakan sebagai pelopor sejarah kerana Seniman Agung P.Ramli serta tokoh refomis Islam, Syed Sheikh Al-Hadi juga pernah mengukir sejarah besar masing-masing di negeri ini.

Selain itu, Guan Eng berkata, kedudukan Pulau Pinang yang strategik melayakkan negeri ini menjadi salah satu pelabuhan interport, serta menjadi pusat berhimpunan jemaah haji sekitar rantau ini ke Makkah pada awal tahun 1970-an.

Justeru, Guan Eng berharap, penubuhan Hab Teknologi MaklumatPenyumberan Luar Proses Perniagaan (IT-BPO) bernilai RM3.3 bilion serta beberapa kejayaan lain di negeri ini baru-baru ini dapat terus melonjak potensi Pulau Pinang sebagai masa depan Malaysia.

Dr. Wu Lien Teh merupakan anak Pulau Pinang bergelar pelajar pertama keturunan Cina di Cambridge, serta warganegara pertama dicalonkan untuk Hadiah Nobel. 

No comments:

Post a Comment