07 March 2014

3 projek Pusat tak siap punca trafik sesak di JK2PP

(Depan, dari kiri) CHOW Kon Yeow, Lim Hock Seng dan A. Rajendran serta pegawai JKR lain semasa meninjau trafik di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BATU MAUNG - Tiga projek pintasan jalan raya berwajib yang masih dalam proses pemajuan di sini dikenal pasti sebagai salah satu punca kesesakan trafik di sekitar Bayan Baru ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam beberapa hari pembukaan Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) itu.

CHOW Kon Yeow
Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, ketiga-tiga projek di bawah seliaan Kerajaan Pusat yang dimulakan lewat dari jadual pemajuan dijangka siap dalam masa tiga tahun.

“Saya lihat keadaan trafik masih terkawal walaupun pada waktu puncak ke tempat kerja sekarang.

“Dari sini (Batu Maung) ke Queensbay Mall, dari sini ke simpang Bayan Lepas dan satu lagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke lebuh raya dekat (Sungai) Ara-Teluk Kumbar masih dalam pemajuan.

“Tiga projek di bawah JKR (Jabatan Kerja Raya) Kerajaan Pusat ini dimulakan lewat daripada jangkaan...mungkin lebih dua tahun lagi untuk menyiapkannya,” ujar Chow Kon Yeow kepada wartawan, selepas meninjau sendiri aliran trafik lebuh raya di sini baru-baru ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng dan Ir. A. Rajendran (Timbalan Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) turut menyertai tinjauan tersebut.

Kon Yeow berkata, ketiga-tiga projek itu wajar disiapkan segera demi mengelak kesesakan trafik yang lebih teruk.

“Jika lambat siap, masalah trafik akan turut menjejaskan tanggapan awam pada kebaikan jambatan baru ini,” jelas beliau.

Kedua-dua Exco Kerajaan Negeri turut diminta mengulas tiga perkara berbangkit mengenai Jambatan Kedua Pulau Pinang tersebut.

Perkara pertama, dua lorong kereta sahaja sekaligus dilihat tidak memenuhi spesifikasi lebuh raya, iaitu sekurang-kurangnya tiga lorong; walaupun menggunakan dalih ada satu lagi lorong khas untuk penunggang motosikal.

Perkara kedua, pembinaan jambatan kedua ini bertentangan dengan logik menaiktaraf Jambatan Pertama Pulau Pinang, iaitu pelebaran dari dua lorong pada tiga lorong seperti di rentasan utama jambatan itu demi menampung kesesakan trafik pada waktu puncak.

Ketiga, langsung tiada tempat berhenti untuk tujuan kecemasan pada jambatan baru ini sebagaimana pada Jambatan Pertama Pulau Pinang, sekaligus dilihat tidak mesra pengguna.

LIM Hock Seng
Menjawab soalan wartawan, Hock Seng berkata, Kerajaan Pusat membina struktur jambatan baru itu mungkin hanya mengambil kira kondisi aliran trafik sekarang.

“Seperti yang diumum oleh (syarikat konsesi) JKSB (Jambatan Kedua Sdn. Bhd.) bahawa buat masa sekarang jambatan itu masih boleh menyuraikan 20 peratus kesesakan trafik di Jambatan Pertama (Pulau Pinang).

“Tetapi, pada masa hadapan, jika perlu, mereka boleh ubah kepada tiga lorong tanpa membuat apa-apa pelebaran lagi, kerana pembinaan asal adalah tiga lorong, cuma salah satu lorong untuk laluan khas motosikal.

“Buat masa sekarang, hentian kecemasan pun ada, tetapi sempit. Memang boleh muat satu kereta (berhenti kecemasan),” jelas Hock Seng.

Direkodkan, lebih 70,000 kenderaan merentasi sehala di Jambatan Pertama Pulau Pinang tiap-tiap hari.

Kerajaan Pusat menjangkakan 20 peratus hingga 25 peratus kesesakan trafik di jambatan pertama itu mampu disuraikan selepas pembukaan  Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam tempoh lima tahun ini.

No comments:

Post a Comment