06 March 2014

207 masjid langsung Solat Istisqa serentak

TUN Abdul Rahman Abbas (tengah) disambut oleh Afif Bahardin (dua dari kiri) dan Ahli Jawatankuasa Qaryah Masjid Sembilang di sini baru-baru ini. | Foto: Facebook Dr. Afif Bahardin.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Kesemua 207 masjid di Pulau Pinang baru-baru ini mengadakan Solat Sunat Istisqa memohon hujan daripada Allah, sejurus selesai Solat Fardhu Jumaat memandangkan musim kemarau berpanjangan hingga mengakibatkan beberapa kebakaran kecil di negeri berkenaan belakangan ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim mengumumkan penganjuran majlis munajat itu, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.

"Kami minta orang ramai dapat tunggu sebentar selepas solat Jumaat untuk sertai solat Istisqa," kata Abdul Malik yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada sidang akhbar dekat Komtar, sehari sebelum berlangsungnya ikhtiar tersebut.

Liputan akhbar Buletin Mutiara di Masjid Sembilang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menyertai ibadah tersebut di sini.

Yang Di-Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Abdul Rahman Abbas antara pemimpin utama Kerajaan Negeri yang hadir pada program munajat di masjid tersebut.

Afif dan Abdul Rahman disambut oleh Jawatankuasa Qaryah Masjid Sembilang yang dipengerusikan oleh Abdul Halim Arabi.

Sementara itu, kesemua jemaah di sini dihargai dengan jamuan ringkas, sejurus selesai Solat Fardhu Jumaat dan Solat Sunat Istisqa tersebut.

No comments:

Post a Comment