14 February 2014

Perincikan pelaksanaan MyHome, gesa Exco Perumahan



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo (gambar) menggesa Putrajaya memperincikan kaedah pelaksanaan MyHome supaya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang layak.

Permintaan itu sebagai reaksi pada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa sebanyak RM300 juta diperuntukan kepada pihak swasta untuk membina kira-kira 10,000 unit rumah, manakala, mereka yang memohon rumah di bawah program ini bermula pada 1 April depan layak diberi subsidi maksimum sehingga RM30,000.

"Siapakah 10,000 yang akan dapat subsidi ini. Siapakah pemaju swasta yang akan mendapat manfaat dari MyHome ini.

"Berapakah unit rumah yang akan dibina di Pulau Pinang. Bagaimanakah kaedah memilih pemohon yang benar-benar layak," tanya Jagdeep pagi tadi di sini.

Pengerusi Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan dan dua pegawai lain dari Jabatan Perumahan Negeri turut hadir pada sidang media tersebut.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, pihaknya berharap rakyat Pulau Pinang tidak terus diabaikan dari menikmati program terbaru ini.

Sejak tahun 2008, kira-kira 70 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah diperuntukan oleh Putrajaya di Pulau Pinang, iaitu jumlah paling sedikit berbanding negeri-negeri lain.

Dari 99 permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) sejak tiga tahun lepas, direkodkan, Putrajaya baru meluluskan projek penyelenggaraan semula rumah pangsa kos rendah di negeri ini.

Itu, tidak termasuk 'janji berkembar' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya umum lepas untuk membina 20,000 rumah mampu milik dan monorel demi kepentingan rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun, Putrajaya melalui Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Seri Dr. Ir. Jamaluddin Jarjis dalam pertemuan dengan Jagdeep pada 8 Februari lepas memberi komitmen menamakan tiga tapak cadangan di negeri ini untuk pembangunan PR1MA sebelum bulan Jun depan.


No comments:

Post a Comment