10 January 2014

P.Pinang diiktiraf destinasi pilihan ke-3 dunia untuk pesara 2014

KEINDAHAN George Town | Foto: InternationalLiving.com.

PULAU Pinang sekali lagi diiktiraf pada kedudukan ketiga sebagai destinasi pilihan terbaik dunia untuk para pesara, lapor Indeks Persaraan Global dipetik dari portal antarabangsa huffingtonpost.com.

Sebelum ini, Pulau Pinang pada tahun 2012 pernah diiktiraf bandar yang paling sesuai untuk didiami di negara ini serta ke-8 paling sesuai didiami di Asia. 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang hanya berada sedikit di belakang Penama dekat Amerika Syarikat dan Ecuador dekat Amerika Latin.

"Di antara tempat-tempat itu, Malaysia berada (pada kedudukan) nombor tiga dunia, iaitu Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Sara rasa Pulau Pinang memang dikenali sebagai negeri yang hijau, bersih, sihat dan selamat sehingga dikenali sekali lagi sebagai salah satu bandar raya yang menjadi pilihan untuk para pesara (dari) seluruh dunia," ujar Guan Eng semalam di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Bandar Perda, Seberang Jaya.

Beliau berkata demikian sempena istiadat majlis angkat sumpah pelantikan Ahli Majlis MPSP Sesi Tahun 2014 yang diadakan serentak dengan pelancaran Coffee Table Book bertajuk Seberang Perai Discovering The Hidden Pearl of Penang.

huffingtonpost.com antaralain menyebut, Pulau Pinang antara diiktiraf kerana mempunyai produk pelancongan menarik seperti stesen kereta kabel Bukit Bendera yang beriklim sejuk, bukit-bukau dan pulau-pulau yang indah serta kawasan bersejarah tinggalan kolonial British.

Portal antarabangsa itu turut melaporkan, kediaman indah mengadap laut di beberapa tempat boleh disewa dengan harga AS$1,700 sebulan, ada yang lebih serendah AS$1,000 sebulan.

Tambah laporan itu, infrastruktur di sini kelas pertama dengan akses internet yang baik dan sebagainya.

Selain itu, terdapat satu program yang membolehkan warga asing untuk tinggal di Malaysia dengan pas lawatan sosial selama 10 tahun, sekaligus Malaysia boleh dianggap sebagai 'rumah kedua'.

Itu, tidak termasuk ruang untuk memilik kediaman di negara ini yang dipelihara kepentingannya untuk rakyat setempat.

Atas maksud itu, Guan Eng meminta MPSP memberi fokus pada pembangunan aspek pelancongan di Seberang Perai dengan menjadikan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai penanda aras demi mereputasi lagi imej Pulau Pinang di peringkat dunia.

Beliau berkata, The Emerging Pearl of Penang yang tertulis pada Coffee Table Book itu mencerminkan kesungguhan MPSP di bawah Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd. Sharif untuk menyahut cabaran ini.

"Kerajaan Negeri senantiasa memberi fokus kepada pembangunan Seberang Perai seperti 'pulau'. 

"Tumpuan satu lagi aspek, iaitu pelancongan di Seberang Perai ini sudah tentu akan membuatkan Pulau Pinang bertambah dikenali di peringkat dunia," ujar Guan Eng lagi.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd.Rashid Hasnon, Prof. P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Maimunah Mohd.Sharif (Yang di-Petua MPSP) turut hadir pada majlis itu.

Hadir sama, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen lain.

No comments:

Post a Comment