14 December 2013

TKM1 rakam tahniah 1,500 peluang kerja IBIDEN

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon merakamkan penghargaan kepada IBIDEN Electronics Malaysia Sdn. Bhd. kerana menawarkan 1,500 lagi peluang pekerjaan sempena sambutan hari keluarga industri itu, pagi ini.

"Saya difahamkan, sekurang-kurangnya 500 orang ahli baru telah menyertai IBIDEN, dan pada hari ini pun, kaunter pendaftaran dibuka untuk mengisi 1,500 peluang pekerjaan.

"Ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan antara destinasi pelaburan pilihan, termasuk apa yang kita lihat di IBIDEN sendiri," ujar Mohd.Rashid pagi tadi pada sambutan hari keluarga IBIDEN di kilang tersebut dekat Kawasan Industri Bukit Minyak, Simpang Empat.

Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Kemasyarakatan turut merakamkan penghargaan atas pengembangan operasi IBIDEN sebagaimana diumumkan baru-baru ini.

Itu, menurut Mohd. Rashid, adalah hasil sokongan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Mohd. Rashid turut menyempurnakan majlis perasmian Hari Keluarga IBIDEN dengan acara melepaskan belon ke udara.

Lebih 500 hadirin menyertai keraian tersebut, termasuk anak-anak dari sebuah Rumah Kebajikan dekat Bukit Mertajam.

Pelbagai acara sukaneka disediakan untuk menghargai keluarga pekerja IBIDEN.









No comments:

Post a Comment