10 December 2013

Sistem Perkongsian Basikal akan dilaksanakan di P.Pinang - Kon Yeow


SiSTEM Perkongsian Basikal akan dilaksanakan di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO tidak lama lagi, sekaligus, menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berbasikal pertama di negara ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pengguna boleh menyewa perkhidmatan awam itu secara saling berkongsi serta layan diri.

"Sistem Perkongsian Basikal telah berjaya dipraktik dengan baik di Negara Eropah, Amerika Syarikat, China dan Jepun...(sekaligus) mempromosi aktiviti berbasikal sebagai pengangkutan alternatif yang sihat serta mesra alam berbanding kenderaan bermotor," ujar Kon Yeow di Dewan Bandaran, George Town pada petang tadi.

Demi merealisasikan pelan pengangkutan awam masa depan itu, Kon Yeow berkata, semua syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) layak memohon projek tersebut secara tender terbuka.

"Mana-mana pihak yang berminat menyertai tender terbuka diwajibkan menghadiri taklimat mengenainya di Bilik Mutiara, Komtar pada 6 Januari 2014," ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh berdaftar dan memuat naik Dokumen Penyataan Hasrat (RFP) melalui sistem e-Perolehan (ep.penang.gov.my) dengan bayaran RM50 secara online.

Tambah beliau, tarikh tutup penyerahan tender pada 12.00 tengah hari, 5 April 2014.

Sistem Perkongsian Basikal adalah satu lagi insiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang dengan sokongan Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

No comments:

Post a Comment