12 December 2013

Azhar Idrus sambut tahun baru 31 Dis di P.Pinang

USTAZ Azhar Idrus antara selebriti yang akan bersama-sama anak muda dalam program Sembang Ambang 2014 di Daratan Pemuda dekat Butterworth pada 31 Disember depan bagi menyambut detik tahun baru.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang (pendakwah), Pierre Andrrea (penerbit, pengarah dan pelakon), Syamsul Yusof (pengarah dan pelakon), Kumpulan Shiromi (pelakon dan pelawat), Saujana (kumpulan nasyid) dan Hadiah Shahrin (pelumba motor Grand Prix) turut tampil dalam program anjuran Kerajaan Negeri.

"Ini antara usaha memartabatkan Islam di negeri ini dengan mempelbagaikan pendekatan dakwah untuk mendekati orang muda," ujar Abdul Malik dalam satu sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, George Town pada tengah hari tadi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Malik berkata, Himpunan Ummah sempena sambutan Maulidur Rasul akan diadakan di Padang Kota, George Town pada 14 Januari tahun depan tanpa perarakan sebagaimana tradisi sebelum ini.

"Sesi itu akan diisi dengan solat sunat Dhuha berjemaah, sebelum dilanjutkan ke Dewan Seri Pinang bersama (ceramah) (Datuk) Ustazah Noor Bahyah Mahmood," ujar Abdul Malik lagi.

Beliau berkata, dijangka program Sembang Ambang 2014 akan menerima kehadiran lebih 40,0000 berdasarkan pengalaman Kerajaan Negeri menganjurkan program dakwah bersama Ustaz Azhar di Padang Kota Lama dekat George Town pada tahun lepas.

Tambah beliau, satu forum khas bersama non-Muslim serta saudara baru (mualaf) turut akan dianjurkan bersempena sambutan tersebut.

Itu, katanya, tidak termasuk majlis bacaan "al-syamaa'ilmu", iaitu kitab yang mengisahkan mengenai sifat serta keperibadian Rasulullah S.A.W di 207 masjid seluruh negeri.

Pada 17 hingga 19 Januari tahun depan pula, katanya, Kerajaan Negeri melalui Halal Penang akan menganjurkan Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) nanti.

No comments:

Post a Comment