28 November 2013

MPSP roboh 70 billboard haram, yang tegar ke mahkamah

(Dari kiri) Shafiqah Shobha Abdullah, Mohd. Rizal Abdul Hamid, Syed Mikael Rizal Aidid, Ho Leng Hong, Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Sharif, Tan Cheong Heng dan Amir Md. Ghazali mempamerkan sijil CITYNET serta majalah antarabangsa CITYVOICES sambil bergambar kenang-kenangan selepas sidang media MPSP di sini, pagi tadi.

70 billboard haram di sekitar Seberang Perai baru dirobohkan oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam satu operasi ‘Perang Billboard Haram’ bermula pada 30 September hingga 18 November lepas.

Justeru, Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Shariff menasihatkan semua pemilik billboard tanpa kebenaran berkenaan supaya mengemukakan permohonan kepada MPSP untuk dipertimbang kelulusan.

"Jika tiada permohonan dikemukakan, langkah seterusnya adalah membawa pemilik billboard haram ini ke mahkamah melalui Seksyen 70, Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974," ujar Maimunah dalam Mesyuarat Penuh Kali Ke-473 pagi tadi.

Hampir semua Ahli Majlis MPSP yang diketuai oleh Amir Md.Ghazali (bekas Ketua AMK Pulau Pinang) turut hadir dalam mesyuarat di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda dekat Bukit Mertajam.

Direkodkan, Jabatan Penguatkuasaan MPSP merobohkan 44 billboard haram dalam operasi baru-baru ini, manakala, baki 25 billboard haram lain dirobohkan sendiri oleh pemilik berwajib.

Pun begitu, Maimunah mendedahkan, 17 billboard haram didirikan semula oleh pemilik berwajib.

"Terdapat beberapa billboard haram dinaikkan semula setelah tindakan meruntuh dijalankan...lapan diruntuhkan semula oleh pemunya (manakala) sembilan diruntuhkan oleh MPSP," ujar Maimunah.

Pada 25 Oktober lepas, Maimunah berkata, pihaknya telah menulis surat kepada mereka yang tegar mendirikan semula billboard haram di tempat sama selepas tindakan penguatkuasaan, dan salinan surat serupa turut dipanjangkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Bercakap dalam satu sidang media selepas itu, Maimunah berkata, MPSP disenarai sebagai ahli dalam CITYNET atau The Regional Network of Local Authorities for the Management of Human Settlements, iaitu satu pertubuhan antarabangsa.

Pengiktirafan tersebut diperoleh selepas Maimunah sendiri menghadiri 2013 CITYNET Seoul Congress di Korea Selatan pada 3 hinga 6 November lepas.

“Artikel dari Seberang Perai telah menarik minat penganjur dan dipilih oleh pihak CITYNET untuk dimuat naik dalam sebuah akhbar antarabangsa (iaitu) CITYVOICES,” ujar Maimunah dalam satu sidang media bersama Setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud.


Beberapa Ahli Majlis MPSP seperti Amir Md. Ghazali, Tan Cheong Eng, Ho Leng Hong, Syed Mikael Rizal Aidid, Mohd. Rizal Abdul Hamid dan Shafiqah Shobha Abdullah turut hadir pada sidang media tersebut.

No comments:

Post a Comment