26 November 2013

Kenyataan Jeff Ooi bukan pendirian DAP, Kerajaan Negeri - Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (kiri).
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilihat seakan mengambil pendirian yang tidak jauh berbeza dengan PAS semasa diminta mengulas mengenai kontroversi isu 'kucing kurap' dan 'tokong' yang dicetuskan oleh Ahli Parlimennya, Jeff Ooi Chuan Aun.

Kon Yeow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir berkata, kenyataan Jeff Ooi itu tidak wajar dilihat mewakili DAP atau Kerajaan Negeri.

"Dua Kenyataan Jeff Ooi itu bukanlah mewakili DAP dan (bukan) melambangkan pendirian Kerajaan Negeri. 

"Itu adalah kenyataan peribadinya," ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada pagi tadi di Datuk Keramat.

Ekoran itu, Kon Yeow menasihatkan Jeff Ooi memanggil Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Datuk Ar. Patahiyah Ismail untuk duduk berbincang demi menjernihkan isu kontroversi itu.

"Beliau (Jeff Ooi) dinasihatkan memanggil YDP MPPP untuk duduk berbincang," ujar Kon Yeow.

Sebelum itu, beliau menyempurna majlis menanam pokok teduhan di jalan utama Datuk Keramat-Masjid Negeri, di sini bersempena Fasa II Projek Penghijauan Bandar anjuran MPPP.

Fasa I projek mesra alam itu bermula dari Pasar raya GAMA hingga Dato' Keramat, bermula pada penghujung tahun lepas.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan PAS Kawasan Jelutong, Mohd. Faruk Abdul Rahman berkata, penduduk wajar berbincang mengenai kelemahan menguruskan aduan pelanggan oleh Jabatan Pelesenan MPPP, berbanding kontroversi isu 'kucing kurap' dan 'tokong' yang meledak politik Pulau Pinang sekarang.


No comments:

Post a Comment