07 November 2013

ADUN Seberang Jaya rai nasib 110 India sempena Deepavali

DR. Afif Bahardin (tiga dari kiri) meramahi seorang penerima sumbangan di sini baru-baru ini.

ORANG kurang upaya (OKU) dan warga emas serta keluarga kurang bernasib baik antara 110 India sekitar Seberang Jaya yang menerima sumbangan sempena sambutan perayaan Deepavali dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, inisiatif itu diharap dapat mengurangkan beban golongan berwajib dalam mendepani kos sara hidup yang kian naik gara-gara Kerajaan Pusat menaikkan harga minyak petrol serta barang keperluan asasi lain.

“Ini merupakan satu hadiah buat keluarga yang kurang bernasib baik, orang kelainan upaya (OKU) dan juga warga emas sempena Deepavali,” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai Bajet 2014, Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan berkata, Kerajaan Pusat sepatutnya lebih memberi tumpuan pada aspek menangani ketirisan, pembaziran, penyelewengan kuasa serta rasuah dalam tadbir urus kewangan negara.

Ini kerana, katanya, langkah mengurangkan subsidi komoditi keperluan asasi rakyat terbanyak meninggalkan kesan berantai seperti kenaikan harga barang serta inflasi. 

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengalu-alukan orang ramai ke Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya di Taman Tun Hussien Onn di sini 10 November depan.

“Saya harap orang ramai tanpa mengira kaum dan agama dapat sama-sama memeriahkan rumah terbuka tersebut,” ujar beliau lagi.

No comments:

Post a Comment