24 October 2013

Tak patut 17 tahun kontena jadi rumah 37 keluarga – Hon Wai

WONG Hon Wai (dua dari kiri) dan Norhayati Jaafar (paling kiri) memberi penjelasan kepada penduduk ‘rumah kontena’ mengenai perkembangan projek rumah pangsa kos rendah Taman Bayu Aman di sini baru-baru ini.

37 keluarga malang yang terpaksa tinggal dalam kontena yang dijadikan rumah gara-gara projek Taman Bayu Aman dekat Telok Air Tawar terbengkalai sejak 17 tahun lepas, iaitu sejak Kerajaan Negeri masih dikuasai Barisan Nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai semasa melawat kawasan pemajuan tersebut sempena Hari Habitat Sedunia baru-baru ini berkata, pihaknya berharap projek itu siap pada tahun depan, sekaligus, membolehkan penduduk berwajib berpindah ke taman tersebut.

Hari Habitat Sedunia ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Isnin minggu pertama bulan Oktober tiap-tiap tahun supaya semua negara atau kerajaan senantiasa berusaha untuk memperbaiki keselesaan habitat serta tempat tinggal manusia.

“Projek ini telah terengkalai terlau lama...mereka tinggal dalam kontena yang dijadikan rumah sejak 17 tahun lepas.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh membiarkan mereka terus tinggal dalam ‘rumah kontena’ ini dan kita harap projek ini siap sepenuhnya tahun depan,” ujar beliau pada satu sidang media tersebut bersama-sama Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Air Tawar, Norhayati Jaafar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Blues Wagon Sdn. Bhd., Datuk Tean Kok Ping iaitu pemaju yang dilantik untuk menyiapkan projek terbengkalai tersebut.

Hon Wai berkata, beliau secara peribadi mengadakan enam kali lawatan susulan ke tapak projek terbengkalai itu, sejak 13 Mei tahun lepas demi menangani masalah penduduk berwajib.

Difahamkan, projek fasa satu rumah pangsa kos rendah tujuh tingkat itu terdiri daripada 149 unit rumah yang setiap satu berkeluasan lantai 600 kaki persegi.

Sebanyak 97 unit akan dibuka kepada senarai menunggu pembeli rumah kos rendah yang berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri.

Dalam satu perjanjian yang dipersetujui bersama pemaju asal, 52 penduduk berwajib masing-masing ditawarkan pampasan berupa dua atau tiga unit rumah berbaki di taman tersebut.

Sementara menunggu projek tersebut siap sepenuhnya, 37 keluarga memilih untuk tinggal dalam ‘rumah kontena’ manakala, 15 keluarga lain telah menyewa rumah di luar kawasan pemajuan berkenaan

Projek Taman Bayu Aman terbengkai sejak sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan Negeri, pada bulan Mac 2008.

Kini, projek tersebut cuba disiapkan dengan pertolongan Blue Wagon dan satu lagi pemaju, Welcome Property.

No comments:

Post a Comment