28 October 2013

Hapus IPP lebih jimat berbanding kurang subsidi gula – Guan Eng

KETUA Menteri (dua dari kanan), Soon Lip Chee (paling kiri) dan Chong Eng (paling kanan) Sabtu lepas bersama-sama peserta Kursus Induksi Briged Wanita Pulau Pinang Peringkat Daerah SPS dekat Jawi bagi mempromosi 'Pelekat Merah Jambu', iaitu kempen kesedaran pencegahan barah payu dara yang diraikan sedunia pada bulan Oktober tiap-tiap tahun.

KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, subsidi Kerajaan Pusat untuk semua stesen janakuasa bebas (IPP) yang dianggarkan RM8 bilion setahun sepatutnya dihapuskan terlebih dahulu, berbanding mengurangkan subsidi gula sebagaimana dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Guan Eng semasa mengulas mengenai Bajet 2014 berkata, langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu hanya akan terus menguntungkan kroni, selain, meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat terbanyak.

“Mereka (IPP) janakuasa bebas dan jual kepada TNB (Tenaga Nasional Berhad). Dia (IPP) telah dapat subsidi, subsidinya sangat banyak (dipercayai) berpuluh-puluh bilion ringgit.

“Kenapa Kerajaan Pusat tidak mansuhkan subsidi untuk IPP, kenapa kurangkan subsidi gula.

“Kalau nak kurangkan subsidi, saya kata boleh. Tetapi, kurangkan subsidi kepada syarikat korporat-korporat besar (IPP) ini dulu.

“Jangan selalu kurangkan subsidi, orang bawah (rakyat) yang kena (tanggung susah) dulu, syarikat korporat besar terlepas (terus mendapat subsidi),” ujar beliau pada Sabtu lepas semasa merasmikan Kursus Induksi Briged Wanita Pulau Pinang Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Hotel D'Jawi Bella dekat Jawi.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng, P. Kasthuri Rani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Soon Lip Chee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi), Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) turut hadir dalam majlis anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) tersebut.

Jumaat lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan I mengumumkan pemotongan subsidi gula, hatta mengakibatkan harga komoditi asasi rakyat itu naik lagi 34 sen menjadi RM2.84 sekilogram sekarang.

Langkah Najib itu kononnya menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM64.02 juta bagi tahun ini dan RM551. 25 juta pada tahun depan.

Najib berdalih, langkah mengurangkan subsidi gula dapat mencegah rakyat daripada penyakit kencing manis atau diebetes.

Di sebalik kenaikkan harga gula ini, “Raja Gula” yang dikenali sebagai Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dipercayai khalayak paling banyak mendapat manfaat daripada Kerajaan Pusat, kerana ahli korporat mesra Umno itu didakwa memonopoli industri gula negara.

Ekoran itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, RM8 bilion – lebih besar dari jumlah penjimatan hasil pemotongan subsidi gula – boleh diselamatkan jika Kerajaan Pusat menghapuskan syarikat-syarikat kroni IPP yang nyata sekaligus memulihara kos sara hidup rakyat teranyak di tanah air ini.


Sumber: internet.

No comments:

Post a Comment