25 October 2013

Belanjawan PR 2014: Akademis kata relevan, MP Umno kata 'cerita lama'

AKADEMIS Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir berkata Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 masih relevan walaupun ada perkara sama yang diulang.

Analisis Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial itu sekaligus menolak dakwaan Ahli Parlimen Umno bagi kawasan Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyebut, 'Bajet PR tidak realistik.

"Ini bukan soal perkara lama atau baru, sebaliknya apa yang ditawarkan perlu dilihat dari segi keperluannya untuk rakyat.

"Pendidikan percuma, rumah mampu milik, misalnya, adalah perkara asas yang membabitkan rakyat secara langsung.

"Walaupun sudah diulang banyak kali oleh PR, ia masih relevan kerana ini yang diinginkan rakyat," katanya, dipetik dari akhbar Sinar Harian hari ini.

Tambah beliau, Belanjawan PR 2014 lebih menumpu pada kepentingan asas yang diperlukan rakyat.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan PR 2014 di Parlimen, bertemakan 'Mempertahan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang'.

Dr. Jeniri berkata, diharap Bajet 2014 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menekankan aspek keperluan asasi rakyat.

"Hampir setiap tahun, bajet kerajaan tidak akan lari daripada mengambil kira keperluan semasa rakyat.

"Aspek begini yang dilihat lebih dekat dengan jiwa rakyat dan perlu diutamakan dalam mana-mana belanjawan," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Nur Jazlan pula dilaporkan berdalih, Belanjawan PR 2014 tidak meliputi semua aspek yang diperlukan negara dan rakyat.

"Belanjawan mereka macam cerita lama. Mereka tak cerita pasal hasil negara, apa yang mereka ceritakan adalah mengenai ketirisan dan rasuah.

"Pembangkang kata penjimatan boleh dilakukan melalui hapuskan rasuah. Mana mereka dapat jumlah rasuah itu," tanya Nur Jazlan semasa diminta ulas mengenai Belanjawan PR 2014 di lobi Parlimen semalam. 

Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, hasrat Kerajaan Umno Barisan Nasional Pusat mahu mendapatkan sumber pendapatan tambahan melalui pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dianggarkan kira-kira RM20 juta setahun hanya cukup untuk menampung ketirisan, pemabaziran, penyelewengan serta rasuah dalam pentadbiran Najib sahaja.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu menyanggah hasrat Pusat melaksanakan GST semasa mengulas mengenai beberapa unsur ketirisan, pemabaziran, penyelewengan dan rasuah dalam pentadbiran Najib, sebagaimana didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment