16 October 2013

ADUN panggil lima pihak dialog isu banjir Kg. Padang Lalang

CHONG Eng (paling kiri) mengetuai dialog mengenai isu banjir di Kampung Padang Lalang di sini baru-baru ini, sambil disaksikan oleh ‘Encik Zakri’ (tengah).
Seorang wakil penduduk Kampung Padang Lalang berdiri mengemukakan sebab-musabab desa berkenaan kerap kali dilanda banjir dalam dialog interaktif di sini baru-baru ini.

ARUS pembangunan yang didakwa menghimpit kesejahteraan Kampung Padang Lalang mengakibatkan sistem perparitan di desa tersebut tidak diselenggara dengan baik, hatta, mengakibatkan kerap berlakunya bencana banjir.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng memanggil Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk berdialog dengan penduduk berwajib di sini baru-baru ini.

MMC-Gamuda selaku syarikat yang memajukan projek keretapi berkembar di sini turut dipanggil bersemuka dengan penduduk setempat.

“Adalah penting buat penduduk-penduduk mengetahui, siapakah yang harus mereka hubungi jika masalah-masalah seperti ini (banjir) berulang.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan kes tolak-menolak atau siapakah yang harus dipertanggungjawabkan, jika, terjadi masalah seperti ini lagi,” ujar Chong Eng dalam majlis dailog interaktif di perkarangan Masjid Al-Munawwarah di sini baru-baru ini.

Pengerusi Qaryah yang dikenali sebagai ‘Encik Zakri’ dan ‘Encik Abdul Ghani’ (wakil Kelab Rukun Tetangga Padang Lalang) turut menyertai dialog tersebut.

Chong Eng yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pihaknya berharap isu sistem perparitan tidak diselenggara tersebut segera ditangani oleh pihak berwajib.

Sebelum itu, ‘Encik Abdul Ghani’ menjelaskan, bencana banjir di sini berpunca dari projek pelebaran Jalan Utama Padang Lalang serta projek landasan keretapi berkembar yang didakwa mengakibatkan sistem perparitan sedia ada tidak diselenggarakan.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai ‘Puan Amelia’ pula melahirkan rasa terkilan kerana tidak diberi pampasan oleh pemaju berwajib atas sebab keretakkan struktur fizikal rumahnya pada tahun 2010, yang didakwa berpunca dari projek pembinaan di sini.

Dalam perkembangan lain, Chong Eng mengumumkan pemberian satu set komputer untuk kegunaan tadbir urus Masjid Al-Munawwarah, di sini. 

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri menggerakkan semua pihak berwajib untuk menangani bencana banjir yang dianggap masalah malar segar di Kampung Padang Lalang.

No comments:

Post a Comment