18 July 2013

Blok B Kg. Melayu terima 'hadiah' lif

WONG Hon Wai (kiri) menyumbang apron kepada salah seorang peniaga Melayu di sini baru-baru ini.
WONG Hon Wai (tiga dari kanan) bergambar kenang-kenangan dengan penduduk setempat semasa melakukan perasmian lif baru tersebut di sini baru-baru ini.

RAMADAN kali ini pasti menggembirakan lebih 2,000 penduduk Blok B Kampung Melayu apabila Kerajaan Negeri baru menaik taraf kemudahan lif di blok berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM717,000 bagi menaik taraf dua lagi lif blok tersebut dalam bulan Ramadan ini.

“Sepatutnya projek awal ini disiapkan sejak Mei lalu, malangnya, pihak kontraktor menghadapi beberapa kekangan kelulusan oleh Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH),” ujar beliau di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, DOSH memperoleh kelulusan sehari sebelum Ramadan dan kontraktor diminta menyiapkan kerja penyelenggaraan itu secepat mungkin demi mengelak kesusahan penduduk setempat.

“Pada lawatan saya 14 Jun lalu, saya turut menggesa kontraktor mempercepatkan projek ini bagi kemudahan penduduk,” tambah beliau lagi.

Seorang penduduk yang enggan identitinya dikenali umum berkata, lif-lif di flat tersebut acapkali rosak, hingga pernah memerangkap warga emas, kanak-kanak, pelajar dan orang kurang upaya (OKU).

“Sekarang ini, kami dapat tmenarik sedikit nafas lega setelah lif ini dan dua lagi akan turut dinaik taraf,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hon Wai melancarkan perasmian pembukaan bazaar Ramadhan di Kampung Melayu serta menyampaikan apron kepada 115 peniaga di situ.

No comments:

Post a Comment