19 July 2013

Banci bantu urbanisasi Geoge Town

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) memulakan proses bancian ke atas seorang penduduk (paling kiri) sambil diperhati oleh pegawai penyelidik lain di sini baru-baru ini.

GEORGE Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dengan kerjasama Think City Sdn. Bhd. menjalankan bancian kependudukan di ibu negeri berkenaan bermula pada pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kajian itu diharap dapat membantu Kerajaan Negeri serta badan-badan berkaitan mendapatkan maklum balas mengenai urbanisasi ‘George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO’ serta kerja-kerja menaik taraf kawasan berwajib kelak.

Menurut beliau, seramai 25 mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia (USM) di sini membantu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PBPDPP) memungut data mengenai bilangan penghuni, bilangan pekerja, bahasa pengantar dan sebagainya melalui kajian tersebut.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu lagi, pegawai penyelidik yang boleh dikenali dengan memakai baju-t jingga serta lengkap dengan pengenalan diri masing-masing sama sekali tidak akan mengambil maklumat peribadi dan data pendapatan daripada respondan.

“Pembanci yang terlatih akan membuat temuduga mengenai peniaga, kediaman, institut pembelajaran, agensi kerajaan dan penggerai.

"Maklumat bancian adalah rahsia dan proses ini tidak akan melebihi lima minit," ujar beliau sambil mengharapkan partisipasi penduduk George Town.

Difahamkan, kawasan bancian adalah seluas 260 hektar merangkumi 5,000 bangunan, 3,000 perniagaan dan 10,000 penduduk.

No comments:

Post a Comment