21 June 2013

Tambah CCTV jamin George Town selamat

CCTV dipasang di Komtar.
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan menambah kira-kira 100 lagi kamera litar tertutup (CCTV) menjelang akhir tahun ini demi merealisasikan George Town sebagai bandar selamat bertaraf dunia.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri mengeluarkan RM1 juta lagi peruntukan tambahan menjadi keseluruhan peruntukan untuk memasang CCTV berjumlah RM1.4 juta.

"Kita (Kerajaan Negeri) serius dan komited untuk membanteras jenayah. Maka, kita akan memasang lebih banyak CCTV sesegera mungkin," ujar beliau di Dewan Bandaran MPPP, George Town baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu berkata, Kerajaan Negeri turut akan memasang lebih banyak lampu jalan demi keselamatan rakyat di negeri berkenaan.

Sejak 2008, MPPP memasang lebih 30 CCTV di pulau, khususnya kawasan sasaran jenayah.

Dengan peruntukan tambahan terbaru itu, dianggarkan, 70 lagi CCTV akan mula beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Februari lepas, dua CCTV lengkap dengan alat pembesar suara yang berhubung terus dari balai polis dipasang di sekitar George Town, iaitu di Love Lane, Muntri Street dan Stewart Lane bagi memberi isyarat amaran kepada suspek pesalah.

Itu, tidak termasuk kamera yang sedia dipasang sejak 20 tahun lepas di sekitar Komtar dan 'jejantas sotong' yang menghubungkan Jalan Penang, Jalan Dr. Lim Chwee Leong dan Jalan Burmah.

Idea memperbanyak CCTV dalam kawasan sasaran jenayah disegarkan semula oleh pentadbiran Guan Eng selepas insiden janda, Tan Kim Chuan, 60, meninggal dunia di tempat kejadian pada Julai tahun lepas.

Pergelutan mangsa dengan peragut yang sempat dirakam melalaui CCTV sedia ada akhirnya mendorong Kerajaan Negeri menambah lagi bilangan alat keselamatan itu demi mencegah jenayah serupa dari berulang di sini kelak. -END

No comments:

Post a Comment