24 June 2013

P.Pinang tumpu E&E, pelancongan :Guan Eng

LIM Guan Eng mahu merealisasikan 'Semua Ada di Pulau Pinang'.

PULAU Pinang dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lalu berada pada anak tangga ketiga selepas Johor dan Sarawak dengan pelaburan keseluruhan 21 projek berniai RM0.85 bilion, lapor perangkaan Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Laporan itu seakan menggambarkan ketidaktentuan ekonomi yang buruk, termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Bagaimanapun, sektor minyak dan gas kekal kukuh di Malaysia seperti yang dilihat dalam 24 perojek bernilai RM5.65 bilion, RM3.04 bilion melalui empat projek masing-masing di Johor dan Sarawak.

Pun begitu, Ketua Menteri, Y.A.B Lim Guan Eng berpendapat industri E&E di Pulau Pinang dalam suku kedua tahun ini masih diramalkan positif.

Ini, berdasarkan laporan Malaysian American Elektronics Industry (MAEI) bahawa eksport E&E dijangka meningkat antara 3 hingga 4 peratus.

Tambah beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diramal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Amerika Syarikat dalam tempoh sama turut berkembang antara 5 hingga 6 peratus.

Ujarnya lagi, Dana Pelaburan Antarabangsa (IMF) menjangkakan sektor E&E akan menjadi pasaran utama dengan peningkatan pelaburan sebanyak 1.9 peratus.

"MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga melaporkan pelaburan tahun ini dijangka meningkat lebih 20 peratus berbanding tahun lepas," ujar beliau di Komtar, George Town baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri turut giat memberi tumpuan pada sektor perkhidmatan seperti pelancongan demi memastikan Pulau Piinang menjadi destinasi pelaburan pelancongan di rantai ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian berdasarkan laporan kemasukan pelancong asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selama lima tahun bermula tahun 2008.

Seramai 464,455 pelancong asing direkod masuk pada tahun 2008, 614,039 orang pada tahun 2012.

"Ini menunjukkan peningkatan tahunan sebanyak 5.74 peratus dari tahun 2008 hingga tahun 2012," ujar beliau di Komtar di sini baru-baru ini.

Berdasarkan perkembangan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mempercepat usaha mewujudkan lebih banyak produk pelancongan meliputi sektor pelancongan sukan, gaya hidup sihat serta pelancongan kesihatan supaya negeri berkenaan dikenali sebagai "Semua Ada di Pulau Pinang".

Demi merealisasikan hasrat yang sama, Guan Eng turut berkata, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama InvestPenang sedang merangka pelan baru Pusat Perniagaan Penyumberan Luar (BPO) di negeri berkenaan.

"Pulau Pinang juga agresif mempromosi pelaburan dalam hub BPO dan beberapa sektor lain," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri menerima permohonan Datuk Simon Wong untuk melepas jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif (EC) Invest Penang atas alasannya mahu meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga.

Ekoran itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk mencari pengganti demi mengisi jawatan tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, Datuk Lee Kah Choon dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Ketua Menteri serta "mengambil alih tugas-tugas yang dilaksanakan oleh Datuk Simon Wong". -END

No comments:

Post a Comment