14 June 2013

Larang muslimah sertai Briged Wanita P.Pinang

Pemimpin masa depan Muslimat PAS Malaysia!

SOALAN: 
Nisa' Pulau Pinang itu sendiri adalah sebuah NGO berdaftar, tetapi diminta tubuh satu lagi NGO untuk menyaingi Briged Wanita yang baru ditubuh oleh Kerajaan Negeri. Dalam usrah kami di kawasan Kepala Batas, kami dilarang menyertai Briged Wanita atas dua alasan. Pertama, bimbang kewujudan Briged Wanita akan mematikan peranan Dewan Musliman PAS Pulau Pinang. Kedua, bimbang terpengaruh oleh liberalisme, termasuk pakaian tidak tutup aurat dalam kalangan anggota Briged Wanita. Apakah yang perlu kami buat?


JAWAPAN
Larangan menyertai Briged Wanita itu tidak mungkin berdasarkan satu hadith sahih riwayat Bukhari semata-mata yang berbunyi, "tidak akan berjaya satu kaum yang mengangkat seorang wanita sebagai pemimpin mereka," kerana perlu dilihat bersama-sama dengan beberapa nas berwajib yang lain.

Dari segi diroyah, dalalatun nas menunjukkan haram wanita memegang tampuk kepemimpinan negara.

Kalau mahu memegang pendapat konsevatif ini sekalipun, perlu diketahui bahawa Briged Wanita bukanlah simbol kekuasaan tertinggi dalam sesebuah kerajaan, bahkan, ia sebuah institusi yang dianggotai oleh wanita sahaja.

Justeru, lebih afdhal wanita, khususnya wanita Islam (muslimah) mengambil peranan dakwah menerusi wadah Briged Wanita itu.

Sungguhpun ada yang menelah bahawa larangan itu diperkukuh dengan tiada seorang pun muslimah pada zaman Rasulullah s.a.w sendiri terlibat secara langsung dalam politik, telahan itu tidak kukuh.

Ini kerana, sejarah termasuk sirah Rasulullah s.a.w tidak boleh didirikan sebagai hujjah kerana ia bukanlah sumber hukum syarak.

Sumber hukum syarak yang qat'i adalah al-Quran dan al-Hadith. Sumber hukum syarak yang dzonno pula adalah ijmak dan qiyas.

Bagaimanapun, tidak salah mengambil pengajaran ('ibrah) daripada sirah Rasulullah S.A.W serta amalan para Sahabiah r.a.hunna yang terpuji itu, seperti peranan yang dimainkan oleh Saidatina Aisyah r.a.ha dalam meriwayat hadith serta mengajar masyarakat pada zamannya.


Hak muslimah
Sesungguhnya wanita Islam (muslimah) mempunyai hak-haknya tersendiri sebagaimana hak-hak tersendiri yang ada pada lelaki Islam (muslim). Hak-hak ini ada yang berbeza, ada yang sama dan ada yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Hanya muslim sahaja mempunyai hak melafazkan cerai (talak) dan merujuk kembali (talak raj'i).

Namun, muslimah dalam konteks rumah tangga tetap dilindungi melalui dua cara.

Pertama, fasakh atau rombakan akad nikah (bercerai) yang diputuskan oleh Hakim (Qadi) dengan kehendak isteri.

Kedua, khulu' atau perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau sesuatu yang berharga.

“Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [Surah al-Baqarah: 227]
"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu,..." [Surah al-Baqarah: 229] 
Muslim dan muslimah juga sebenarnya mempunyai hak yang saling melengkapi seperti mendidik anak-anak, berdakwah hatta membangunkan sebuah negara secara demokratik lagi berkebajikan.

Firman Allah yang bermaksud:
"(Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan..." [Surah an-Nisa': 32]
Sekiranya muslimah mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam  mendidik anak-anak, patutkah dilarang mereka mendidik masyarakat?


Muslimah Agen Ubah Masyarakat
Terlalu banyak pengajaran ('ibrah) mengenai peranan muslimah dalam mendidik masyarakat hatta mewarnai politik pada zaman Rasulullah s.a.w jika aspek penyertaan mereka dalam tadbir urus negara cuba ditolak mentah-mentah.

Rasulullah S.A.W sendiri membawa Saidatina Ummu Salamah r.a.ha menyertai majlis persetujuan bersama dalam Perjanjian Hudaybiah pada tahun ke-6 Hijriah sungguhpun tidak menyenangkan segelintir Sahabat.

Perjanjian genjatan senjata selama 10 tahun itu sendiri menggamit perasaan tidak senang segelintir para Sahabat r.a. kerana dianggap berat sebelah serta merugikan survival Islam.

Rasulullah s.a.w menemui Ummu Salamah lalu memberitahu bahawa para Sahabat tidak mahu mencukur rambut dan pulang ke negara moden Madinah.

Cadangan Ummu Salamah supaya Rasulullah s.a.w sendiri mula mencukur rambut ternyata diikuti oleh Sahabat lain, sekaligus menjernihkan konflik kepentingan antara mereka.

Begitu juga dengan peranan isteri Rasulullah s.a.w bernama Khadijah binti Khuwailid r.a.hum dalam meninggikan syiar Islam serta anaknya Fatimah binti Muhammad dalam meriwayatkan hadith serta menyebarkan ilmu pengetahuan.

PAS adalah sebuah parti terbuka - sama seperti gerakan Islam yang lain hakikatnya tidak pernah melarang pun sayap muslimahnya untuk menyertai pergerakan kemasyarakatan.

Penubuhan Nisa' Malaysia dan Mawar Pulau Pinang menyerlahkan keterbukaa parti masa depan itu.

Penubuhan serta penyertaan muslimah kedua-dua NGO itu sekaligus mengharuskan mereka menyertai mana-mana pertubuhan lain, termasuk Briged Wanita Pulau Pinang yang ditubuhkan baru-baru ini.


Bimbang
Setiap perkara tentu ada baik dan buruknya. Yang baik itu maslahah dan yang buruk itu adalah mudharat.

Firman Allah yang bermaksud:
”Mereka bertanya kepada kamu (wahai Muhammad) berkenaan arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya adalah dosa besar dan ada manfaat bagi manusia. dan dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaat.” [Surah al-Baqarah: 219]
Arak haram kerana mudharatnya lebih besar daripada maslahah.

Ini jalan ke arah aplikasi Fiqh Muwazanat!
1. Mengambil maslahah dengan menolak mudharat
2. Mengambil mudharat yang paling kecil

Kalau dalam perkara mempunyai nas qat'i pun, Allah mengajar kita mengenai pertimbangan ini.

Dalam perkara ketiadaan nas atau lebih tepat disebut dzonni seperti status larangan muslimah menyertai Briged Wanita Pulau Pinang lebih-lebih lagilah memerlukan kita membuat pertimbangan.

Dilaporkan, mudharat menyertai Briged Wanita yang disebut-sebut oleh segelintir pemimpin jamaah di kawasan berkenaan antaranya :-

1. Melunturkan komitmen Muslimah jamaah kepada parti sendiri

2. Membantutkan pelaksanaan perancangan sedia ada dalam sayap Muslimah jamaah sendiri

3. Muslimat jamaah akan terpengaruh oleh budaya tidak Islamis seperti feminisme (merujuk pada PWDC), pergaulan bebas serta gejala dedah aurat.

Sesungguhnya status Briged Wanita Pulau Pinang sama seperti Nisa' Malaysia, Mawar Pulau Pinang, JKKK, Parsatuan Kariah Masjid Kebun Sireh, Bank Islam Malaysia Berhad hatta parti sendiri sebenarnya vehichle bagi muslimah hakiki hari ini dalam memainkan peranan sebagaimana ditunjukkan pada era keemasan Islam.

Peranan yang dimaksudkan adalah meninggikan syiar Islam, menjelaskan mengenai keharmonian Islam kepada bukan Islam, mendidik masyarakat, membela wanita terniaya serta mengukuhkan tapak sokongan rakyat terhadap tadbir urus berintegriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Jika menyertai Briged Wanita Pulau Pinang mudah "melunturkan komitmen Muslimah jamaah kepada parti sendiri", patut penyertaan mereka dalam Nisa' Malaysia, Mawar Pulau Pinang, JKKK, Parsatuan Kariah Masjid Kebun Sireh, Bank Islam Malaysia Berhad sejak dulu lagi patut dilarang.

Itu semua tidak pernah berlaku dalam parti masa depan seperti PAS. Mustahil.

Susungguhnya, muslimat jamaah telahpun menunjukkan budaya perancangan bersifat waq'i (isiatu sesuai dengan perubahan masa, tempat dan kondisi) jika dilihat pada aspirasi dakwah sayap wanita parti itu direalisasikan melalui beberapa vehichle tersebut.

Kejayaan itu sekaligus tidak akan membantutkan wawasan Dewan Muslimah jamaah jika ada perancangan yang waqi'e dalam sayap wanita itu untuk menggerakkan operasi Briged Wanita Pulau Pinang.


Fiqh Bukan Islam
Tidak timbul di sini mengenai bukan Islam yang sedia maklum free hair serta tidak berbusana Islamis sebagaimana disebut wujud dalam PWDC akan wujud juga dalam Briged Wanita Pulau Pinang.

Ini kerana, bukan Islam adalah tidak tertakluk dengan kewajipan-kewajipan Islam itu sendiri. Hanya mukallaf sahaja yang ditaklif untuk mengikut budaya berpakaian yang syar'i.

Firman Allah yang bermaksud:
“Tidak ada paksaaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kebatilan” [surah Al-Baqarah : 256]
Dalam bab memeluk Islam pun, Rasulullah s.a.w berdakwah kerana Allah melarang paksaan beragama demi melahirkan individu muslim yang bermutu.

Takkan dalam bab sosialisasi bukan Islam, kita mahu menunggu bukan Islam memakai busana Islamis lengkap dengan memakai tudung, baru kita mahu menyertai Briged Wanita Pulau Pinang ini? Ini fiqh aneh!

Muslimah jamaah yang diakui menerima tarbiah yang begitu jitu daripada 'alim ulama' dalam parti Islam berkenaan sepatutnya tidak terpengaruh oleh mana-mana anasir jika benar seperti yang didakwa.

Sebaliknya, golongan tarbawi itu yang patut mempengaruhi masyarakat, termasuk bukan Islam untuk melihat keindahan Islam serta kewibawaan pemimpin wanita Islam sendiri.


Ancaman vs Peluang
Apa yang nak disebut di sini, kita tidak boleh mengambil manfaat daripada apa jua vehichle termasuk Briged Wanita Pulau Pinang sekiranya kita menganggap itu semua ancaman.

Kita boleh merancang serta melaksanakan pelbagai manfaat sekiranya kita menganggap Briged Wanita Pulau Pinang itu sebagai peluang untuk meninggikan Islam serta mengukuhkan tapak sokongan rakyat terhadap tadbir urus berintegriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dengan melihat vehichle itu sebagai peluang akan menjernihkan maslahah yang lebih besar (maslahah muktabarah & juz'iyyah) berbanding mudharat.

Berikut adalah maslahah yang akan muslimah PAS dapat jika partisipasi dengan Briged Wanita Pulau Pinang:-

1. Meningkatkan mutu serta meluaskan pengaruh dakwah Muslimat PAS dalam dimensi Komtar serta negeri Pulau Pinang.

2. Meringankan operasi Dewan Muslimah PAS Pulau Pinang kerana sebahagian cita-cita dakwa serta kaderisasinya boleh dilunaskan melalui vehichle Briged Wanita Pulau Pinang.

3. Mewujudkan dinamisme dakwah PAS sendiri kerana muslimatnya tidak lagi mendekati atau menempuhi kumpulan sasaran tradisi sahaja, iaitu wanita Islam Islamis; sebaliknya bukan Islam, golongan teraniaya dll.

Bimbang ertinya waham. Waham tidak sama dengan dzonn (sangkaan atau kebimbangan yang berasas).

Menimbang baik buruk atau muwazanat bukan dzonn, tetapi mendekati ghalabatuz dzon(sangkaan kuat yang berasas).

Kalau maslahahnya sekuat itu, takkan masih nak berpegang pada dua waham sebagaimana disebut dalam soalan di atas?

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"da‘ma yuribuka ila ma la yuribuka" [hadith Riwayat at-Tarmizi: 2773] [maksud: meninggalkan yang mana kamu ragu (dengan) memihak kepada apa yang kamu tidak ragu-ragu ...] 
Kaedah fiqh menyebut, "al-yaqinu la yuzal bi syaki" [keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak]


Pendirian
Atas beberapa penjelasan kecil ini, saya berpendapat bahawa harus untuk semua muslimah menyertai Briged Wanita selagimana dalam perancangan meninggikan syiar Islam serta memperkukuh sokongan rakyat terhadap tadbir urus berintegriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Larang muslimat negeri menyertai Briged Wanita tidak salah untuk dipersoal kerana status arahan itu pun adalah pendapat pemimpin tertentu parti, bukannya pendirian rasmi jemaah.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” (Surah Ar-Ra'd: 11)

WaLlahu 'alam.


Zainulfaqar Yaacob
5 Sya'ban 1434H bersamaan 14 Jun 2013
Komtar | 1.00 petang

No comments:

Post a Comment