27 May 2013

Sertai pilihan raya untuk kalah itu logik!

Mujahid yang bijak!
Manusia sedia menerima sesuatu yang telahpun tertanam dalam pemikirannya daripada menerima sesuatu yang baru.

Filem aksi komedi Zorro muda diterima di Eropah kerana aksi komedi Charlie Carplin telah lama tertanam dalam pemikiran rakyat di sana.

Kadang-kadang kita pun tercuit gelak dengan aksi Lan Pet-Pet didukung kembali selepas mendukung Wahid Senario kerana mengimbau telatah Sudin dan Aziz Satar dalam filem-filem era P.Ramlee.

Jihad yang ada dalam Islam telah mengajar Rasulullah s.a.w dan Sahabat r.a.hum mara ke medan perang untuk mati syahid, bukan untuk mendapat ghanimah.

Sebab itu pun, selalu diselokakan bahawa tujuan PAS menyertai pilihan raya bukan untuk mencari habuan duniawi, tetapi untuk memburu keredhaan Allah.
“Pilihanraya bukan kerja utama kita. Kita ada banyak kerja yang perlu dibuat. Walau pun kalah, teruskan bekerja. Tidak mengapa, walau pun kita kalah pilihanraya pun, kita tetap menang dalam perjuangan.
Kita bukan kalah, cuma tidak menang sahaja. Walau pun kita kalah pilihanraya, sebenarnya kita berpeluang untuk berdakwah apabila menyertai pilihanraya. Pilihanraya bukan matlamat kita. Kita mempunyai matlamat yang lebih besar. Kita rela kalah walau pun 100 tahun lagi asalkan kita terus berjuang Islam. 
Biarkan BN menang, kerana kemenangan mereka adalah kemenangan yang kotor. Penuh dengan tipu daya. Kemenangan itu tidak diredhai Allah. Kita mesti perkukuhkan jamaah kita untuk perjuangan Islam. Kekalahan dalam pilihanraya bukan bermakna kekalahan dalam perjuangan. 
Biarkan kita kalah, perjuangan kita adalah perjuangan yang benar. Kita mulia di sisi Allah dengan perjuangan ini. Islam bukan tertegak dengan pilhanraya sahaja, Islam boleh tertegak dengan bermacam-macam cara.
Kita masuk pilihanraya untuk mendapat keredhaan Allah, biarlah kita kalah asalkan kita mendapat keredhaan Allah. Wang ringgit kita, titik peluh kita, tenaga kita, semuanya adalah untuk Islam. Walau pun kita kalah, Allah tidak akan mensesiakan semua pengorbanan itu.” - telahan Presiden.
Itu antara ucapan Presiden kita. Bukan PAS mungkin sukar untuk terima "masuk pilihan raya bukan untuk menang".

Tetapi, logika ini diterima oleh ahli-ahli PAS khususnya yang tidak pernah mencium jawatan politik dalam parti.

Mereka terus berdakwah dan mewakafkan diri sungguhpun menyedari kepemimpinan mereka melakukan sesuatu yang tidak kena kerana kemaraan mereka dalam medan jihad berpilihan raya baru-baru ini bukan untuk memburu habuan diniawi.

Fenomena Pil Kuda, percakaran di Kota Damansara sampailah di Sungai Acheh tidak menyemak kamus perjuangan mereka kerana mereka mahu pergi ke medan jihad sebagaimana Rasulullah s.a.w serta para Sahabat r.a.hum.

Ini lah kekuatan PAS. PAS mempunyai ahli - kebanyakannya golongan mustad'afin - yang tidak pernah kenal erti putus asa di medan dakwah.

Semangat kental ini yang menyemarak terutama semasa arwah Datuk Fadhil Noor masih menjadi Presiden PAS dulu telah menghimpit politik bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zaman Reformasi menyaksikan Fadhil Noor di depan. Di belakangnya terdiri oleh angkatan yang kuat sama ada dari kalangan ahli parti sendiri atau mereka yang di luar kerangka parti (untake-market group).

Istimewanya Fadhil Noor ini adalah ia mampu mengolah semangat jihad ala-ala zaman Nubuwaah seperti "pergi berjihad untuk mati syahid" sesuai dengan kerangka demokrasi yang relatif pada era Reformasi'98.
"Kalau Allah beri kemenangan kelak, insya-Allah kita akan lelong Putrajaya dan kembalikan kekayaan yang dirompak oleh Dr Mahathir ini kembali kepada rakyat kerana jihad kita dalam pilihan raya ini untuk mencari keredhaan Allah..." - Fadhil Noor.
Ucapan itu disemarakkan semasa (bekas timbalan perdana menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merengkuk dalam Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Ternyata Ustaz Fadhil Noor berjaya melonjak mood rakyat terbanyak untuk bersama dengan PAS dalam apa rupa semangat kudrat sekalipun.

Impaknya, sungguhpun PAS bersama-sama Barisan Alternatif (BA yang kini dikenali lebih kurang seperti Pakatan Rakyat) gagal mengambil alih Putrajaya, Fadhil Noor menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen ekoran representasi PAS paling banyak di Dewan Rakyat.

Selepas PRU13, prestasi PAS nampak ketinggalan berbanding rekod kejayaan DAP dan PKR.

Di Pulau Pinang umpamanya, PAS di bawah Pesuruhjayanya Datuk Mohd. Salleh Man gagal melonjak PAS semasa 'Tsunami Malaysia' paling kuat melanda negeri berkenaan berbanding negeri-negeri lain.

Pakatan Rakyat Pulau Pinang mendapat 68 peratus undi popular - peratusan paling tinggi - tetapi, PAS tetap tewas di lima kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen yang ditandingi.

Pun begitu, kalau diruncit perdapat akar umbi PAS di peringkat cawangan dan kawasan hatta dalam Dewan Perhubungan Negeri sendiri sudah mendengar pelbagai cakap-cakap dan bisik-bisik.

Elok atau tidak elok, gambaran yang ada adalah semangat dakwah dan jihad (baca: pergi berjuang di medan jihad untuk mati syahid, bukan mendapat habuan duniawi) tidak pernah luntur, bahkan membara.

"Apa yang patut PAS buat selepas tak menang macam DAP Pulau Pinang selepas PRU ini"

"Takkan nak duduk saja, reda, 'jangan gopoh', atau tunggu musim PRU14 lima tahun lagi."

Semangat jihad dalam pembuluh darah jundi-jundi PAS sia-sia jika "keistimewaan Fadhil Noor" tidak ada dalam kepemimpinan yang sedia ada sekarang.

Jihad perlukan kefahaman.

Jihad perlukan perancangan.

Jihad perlukan kepemimpinan.

Jihad perlukan wawasan yang lebih jauh, praktikal, jelas, mudah dan mampu dicapai!

Kalau semua itu tiada, itu bukan jihad namanya.

Itu 'syok sendiri' para pemimpin malang.

Semoga samboyan jihad yang segar dalam benak ahli PAS boleh merobah sendi-sendi usang yang ada dalam PAS pada musim saingan kali ini.

Jihad itu perubahan. Perubahan itu sangat menguntungkan Islam dan parti, InsyaAllah.

Jihad itu bagaikan pisau yang tajam, kalau tuannya bijak memakai, elok lah kegunaannya. Kalau sebaliknya, mungkin terluka tubuh.

Inilah logiknya!

No comments:

Post a Comment