20 April 2013

Tok Shariff sah tanding dua kerusi, cabar Umno

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Shariff Omar sah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Beliau akan bertembung dengan Shabudin Yahya dari Barisan Nasional (BN) dan Datuk Abdul Rahman Mydin (Pas).

Selain itu, beliau juga bertanding kerusi Dun Sungai Dua menentang Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN) dan Zahadi Mohamad (Pas).

Pengerusi Perkasa Tasek Gelugor, Azmi Alang tidak bertanding kerana memberi laluan kepada Shariff di Dun Sungai Dua.

Bagaimanapun, seorang lagi regunya yang juga ahli jawatankuasa Umno Tasek Gelugor, Datuk Mustafa Idros untuk kerusi Dun Telok Ayer Tawar tidak hadir.

Kerusi Dun Permatang Berangan menyaksikan satu lawan satu antara Omar Abdul Hamid (BN) dengan Arshad Salleh (Pas) manakala Dun Telok Ayer Tawar membabitkan penyandang, Datuk Jahara Hamid (BN) dengan Noorhayati Jaafar (PKR).

Nama semua calon yang bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tasek Gelugor, Abdul jaffar Ibrahim pada jam 11.30 pagi.

Ketika ditemui, Mohd Shariff berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan berdasarkan kad laporan perkhidmatannya selama ini kepada penduduk Tasek Gelugor sama ada ketika menjadi timbalan ketua menteri atau timbalan menteri pertanian dan industri asas tani.

"Saya tidak menentang sesiapa tetapi mahu menawarkan diri dalam pilihan raya ini untuk penilaian rakyat atau pengundi.

"Jika mereka rasa saya layak, mungkin mereka akan pilih saya," katanya yang mengetengahkan slogan "teruji, terbukti, diakui."

Shabudin berkata, dengan sokongan rakyat yang semakin meningkat, kerusi parlimen itu mampu dipertahankan oleh BN.

"Kini kerja dan kempen kita menjadi lebih mudah apabila orang yang belot kepada parti tidak lagi berada bersama kita," katanya.

Mengenai penyertaan Mohd Sharif sebagai calon Bebas, Shabudin yang sebelum ini penyandang kerusi Dun Permatang Berangan berkata, ia adalah persaingan yang sihat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Abdul Rahman pula yakin mampu merampas kerusi parlimen itu kerana yakin dengan sokongan rakyat kepada perjuangan parti itu.

"Kita sudah menghulurkan pelbagai bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Berdasarkan maklum balas, saya yakin mereka mahu perubahan dalam pilihan raya kali ini," katanya.

Butiran calon bertanding:

P42 PARLIMEN TASEK GELUGOR
1. Datuk Seri Mohd Shariff Omar (Bebas)
2. Shabudin Yahaya (BN)
3. Datuk Seri Abdul Rahman Mydin (Pas)

N4 DUN PERMATANG BERANGAN
1. Omar Abdul Hamid (BN)
2. Arshad Salleh (Pas)

N5 DUN SUNGAI DUA
1. Zahadi Mohamad (Pas)
2. Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN)
3. Datuk Seri Mohd Shariff Omar (Bebas)

N6 DUN TELOK AYER TAWAR
1. Noorhayati Jaafar (PKR)
2. Datuk Jahara Abdul Hamid (BN)

No comments:

Post a Comment