04 April 2013

Balik Pulau pilih pengayuh basikal, bukan sebab kaya - Yusmadi Yusof

YUSMADI Yusoff berbasikal, selami sentimen daerah .
YUSMADI Yusoff percaya proses memilih calon PKR bagi Parlimen Balik Pulau serta dua DUN (Pulau Betong dan Teluk Bahang) lebih mengambil kira sentimen kedaerahan berbanding sentimen kepemimpinan parti negeri.

"Faktor kewangan bukan menjanjikan apa-apa jika itu menjadi ukuran pemimpin parti peringkat negeri sekarang. 

"Calon Umno Senator Datuk Dr Noraishah Mohamad yang bertanding dulu (PRU13) adalah anak tempatan, intelektual, mantan Pengerusi Bank Rakyat, Pengerusi 'Jambatan Pulau Pinang', Pengerusi MyEG yang kaya, tetapi tewas dengan seorang budak kampung.

"Orang kaya pun boleh tewas dengan pengayuh basikal sahaja sebab Balik Pulau politiknya kedaerahan, bukan sentimen kepartian," ujar Yusmadi menerusi telefon petang tadi.

Yusmadi dikenali sebagai peguam muda, penulis dan penganalisis politik global sehingga pernah dipilih sebagai Fellow Hubert H. Humphrey (undang-undang) American University Washington College of Law di Washington D.C serta Fello Demokrasi & Pembangunan di Universiti Stanford di California (2008) sebelum dipanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Balik Pulau dan menang dalam pilihan raya umum lepas.

Sebagai anak tempatan yang mendapat pendidikan agama dari SMKA Al-Mashoor (Lelaki), Kolej Islam Sultan Alam Shah Alam (KISAS) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tentunya memberi kelebihan kepada anak muda itu di hati rakyat.

Musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menyaksikan pelbagai kontroversi mencuit perhatian Yusmadi, antaranya mengenai kain rentang pro Yusmadi yang menuntut ahli parlimen muda itu kekal bertanding dalam musim ini. 

Yusmadi turut dikenang ekoran perjuangnya membela nasib setinggan di Balik Pulau sampai ada sekumpulan anak muda dari Kampung Binjai sanggup mengugut untuk koyak kertas undi jika ahli parlimen muda itu tidak dicalon lagi.

Menyentuh mengenai ura-ura hartawan Mohd. Bakhtiar Wan Chik yang disebut-sebut bakal menjadi calon ganti di Parlimen Balik Pulau pada musim ini, Yusmadi berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih berhikmah untuk memastikan kemenangan Balik Pulau melengkapkan kemenangan Pakatan Rakyat ke Putrajaya kelak.

"Dua kali 'bos' datang berkempen di Balik Pulau, tetapi impak menang Parlimen dengan 708 undi saja. 

"Walaupun Thunami Politik mengubah lanskap politik Malaysia, tetapi, undi peringkat DUN tidak kalah (dek Umno). Umno berjaya kekalkan (kemenangan) di Bayan Lepas (PAS tanding), Pulau Betong dan Teluk Bahang sebab sentimen calon pilihan parti bukan sentimen utama di Balik Pulau.

"Sentimen kedaerahan inilah yang bagi saya diambil kira oleh 'bos' (Anwar Ibrahim), ini hikmah yang berjaya dibuat sebelum masuk pilihan raya umum lepas," ujar beliau.

Beliau berkata, pak ciknya Abdul Rahman Yunus dari parti 'kecil' iaitu Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) boleh tewaskan seorang calon kuat pilihan Umno Datuk Yusof Latif (bekas Setiausaha Politik dua Ketua Menteri Pulau Pinang) dalam beberapa pilihan raya umum lepas disebabkan sentimen kedaerahan lebih dominan berbanding sentimen calon pilihan parti. 

"Parti kecil boleh menang sebab calon ada ketokohan di peringkat daerah. Sikap Balik Pulau lebih kedaerahan berbanding politik kepartian," ujar beliau.

Dari segi yang lain, Yusmadi berkata, Sr. Mohamad Farid Saad dan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya masing-masing diberi mandat sebagai ADUN Pulau Betong dan ADUN Teluk Bahang kerana sintimen kedaerahan seperti anak tempatan.

"Yang penting bagi saya adalah calon yang dipilih mesti mengambil sentimen kedaerahan. Kalau 'bos' (Anwar Ibrahim) sendiri bertanding di sini (Balik Pulau), saya sokong ketokohannya lebih kuat daripada saya walaupun beliau bukan anak tempatan (Balik Pulau).

"Sentimen parti mengambil bukan anak tempatan yang tidak ada ketokohan yang lebih kuat seperti Anwar, kekayaan saja tidak boleh mengambil tempat (menang) dengan sentimen kedaerahan di sini (Balik Pulau)

"Isu ganti calon bukan isu utama dan saya tiada kepentingan dalam isu itu, tetapi ini pasukan rakyat yang terdiri oleh 'orang parti' dan 'orang di luar parti' berlawan Barisan Nasional lebih penting. Balik Pulau mesti menang untuk kemenangan di Putrajaya dengan sentimen kedaerahan ini," ujar beliau.

Yusmadi berkata, beliau berbelanja kira-kira RM15,000 yang dibekalkan PKR sahaja semasa pilihan raya umum lepas sebab sentimen kedaerahan tidak memerlukan wang yang banyak untuk berkempen dan menang.

Dalam perkembangan lain, beberapa pemimpin utama PKR dikesan mula berkampung di Pulau Pinang sejak pagi tadi bagi menyelesaikan polemik calon di Parlimen Balik Pulau dan satu lagi parlimen, iaitu Permatang Pauh yang dikosongkan Anwar sendiri pada musim pilihan raya umum ini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus