02 February 2013

Umno tak gembira Nasha gugur Ahli Majlis Syura Ulamak

UMNO tak gembira dengan berita pengguguran Ahli Parlimen Bachok, Nasharuddin Mat Isa dari menganggotai Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas baru-baru ini.

Naib Presiden parti perkauman itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdalih, pemecatan Nasharuddin di sisi Pas umpama 'memaafkan diri'.

Dalih Ahmad Zahid lagi, Pas sepatutnya bersikap terbuka dengan kritikan-kritikan yang dikemukakan Nasharuddin.

Ini kerana, dalihnya, Umno Barisan Nasional selama itu digambarkan sebagai sebuah parti yang tidak boleh menerima perbezaan hatta didakwa tidak boleh bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

"Jelas daripada apa yang dilakukan kepada Nasharuddin, (Datuk Dr) Hasan Ali dan ramai pemimpin Pas yang lain memperlihatkan parti itu 'menepuk air di dulang terkena ke muka sendiri'," dalih beliau hari ini di Bagan Datoh sebagaimana dipetik dari portal Bernama.

Nasharuddin bersama-sama beberapa pemimpin utama Pas sejak empat tahun lepas mendapat perhatian banyak pihak ekoran iltizam politik mereka mahu membawa Pas bergabung dengan Umno atas nama 'Kerajaan Perpaduan' (UG).

Bagaimanapun, Nasharuddin digugurkan dari menganggotai MSU kononnya disebabkan tiada komitmen menghadiri mesyuarat majlis tertinggi itu.

Menyentuh pendirian Pas yang dilihat mengikut 'citarasa musim', beliau berkata Pas perlu lebih rasional dalam menentukan hala tuju kepimpinan dalam partinya jika mereka mahu dihormati.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun tidak mengulas mengenai kondisi keselamatan negara khususnya di Sabah yang dikatakan kian goyah ekoran sindiket memberi kad pengenalan warganegara kepada warga Filipina yang dikaitkan dengan pemimpin utama Umno.

Pun begitu, Ahmad Zahid dalam nada politik menyeru mereka yang telah 'terlanjur' menyokong Pas secara membuta-tuli supaya membuka mata dan hati melihat apa yang dilakukan parti itu. 

"Bagi mana-mana golongan yang berada atas pagar dan penyokongnya, inilah masanya untuk membuat keputusan tinggalkan parti yang tidak boleh membantu mereka, parti yang tidak ada pendirian, parti yang menggunakan agama untuk kepentingan politik...tinggalkanlah," dadih beliau lagi.   

Dalam perkembangan lain, Mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa pemergian Nasharuddin ke Gaza baru-baru ini diperalatkan oleh BN, Ahmad Zahid berkata mereka sepatutnya membezakan antara soal kemanusiaan dan kepartian.   

"Siapa peralatkan siapa. Ini soal kemanusiaan, ini bukan soal parti, cuba bezakan Nasharuddin sebagai pemimpin NGO kerana itu soal kemanusiaan. Saya harap Pas bukalah mata, bukalah hati dan fikiran supaya soal kemanusiaan ini dapat dibezakan dengan kepartian," dalihnya. -END

No comments:

Post a Comment