▼
19 February 2013
PDC: 6 peratus rumah Jalan S.P.Chelliah RM400,000 tolak fitnah Umno
PERBADANAN Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mendedahan, hanya 6.2 peratus sahaja rumah mampu milik di Jalan S.P.Chelliah berharga RM400,000 seunit daripada 1,320 jumlah keseluruhan unit rumah yang dibina di lokasi tersebut.
Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar berkata, 94 peratus atau kira-kira 1,238 unit rumah mampu milik berbaki di lokasi berkenaan berharga antara RM72,500 hingga RM300,000.
"(Rumah mampu milik berharga) RM400,000 itu hanya 6.2 peratus saja. Rumah mampu milik RM300,000 keluasan lantainya 900 (kaki persegi), (diikuti) RM200,000 (untuk keluasan lantai) 800 (kaki persegi) dan (rumah kos sederhana rendah, LMC) RM72,500 (untuk keluasan lantai) 700 (kaki persegi).
"Dari 1,320 unit rumah keseluruhan, 770 (LMC) kita (PDC) akan bina, maknanya dekat-dekat 60 peratus unit rumah dengan harga RM72,500," ujar beliau baru-baru ini selepas Majlis Pelancaran Projek Dewan Bankuet & Sukan Bandar Seberang Jaya, Seberang Jaya yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.
Penjelasan Rosli itu sekaligus menolak tuduhan pembangkang Pulau Pinang kononnya Kerajaan Negeri melalui PDC membina rumah mampu milik berharga RM400,000 sahaja di negeri berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Prof Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain turut hadir pada majlis anjuran PDC.
Hadir bersama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunaf Mohd. Sharif serta beberapa Ahli Majlis MPSP seperti Amir Ghazali, Ahmad Tarmizi Abdullah, Md. Jamil Abd. Rahman, Soon Lip Chee dan Ahmad Kaswan Kassim, Mohamad Shaipol Ismail.
Menurut Rosli, harga satu-satu rumah yang dibina di Pulau Pinang sebenarnya berdasarkan aras tanda harga yang digariskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Harga rumah di Pulau Pinang ini sebenarnya mengikut aras tanda PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia). Dari aras tanda itu, harga ditentukan dengan mengambil kira lokasi (nilai tanah)," ujar beliau.
Sebelum pada itu, Guan Eng menasihatkan pembangkang Pulau Pinang supaya menghentikan kenyataan berunsur fitnah ke atas Rosli serta Kerajaan Negeri dengan mengelirukan fakta berhubung isu perumahan mampu milik di negeri berkenaan.
"Kita (Kerajaan Negeri) pun menerima arahan daripada Kerajaan Pusat bahawa harga rumah mampu milik adalah antara RM72,500 hingga RM400,000, dan ini dijalankan oleh Datuk Rosli mengikut apa (aras tanda harga) yang ditetapkan (kementerian).
"Tetapi, saya kesal apabila Datuk Rosli dalam menjalankan tugasnya, datang pula fitnah-fitnah yang mengatakan Kerajaan Negeri membina rumah mampu milik berharga RM400,000 sahaja.
"6 peratus sahaja (rumah mampu milik) berharga RM400,000, bukan 100 peratus rumah yang dibina sama ada di Jalan S.P. Chelliah ini berharga RM400,000.
"Ini tak patut lah. Rumah mampu milik berharga RM400,000 juga dibina oleh Kerajaan Pusat. Kalau membina hanya 6 peratus (rumah mampu milik di Jalan S.P.Chelliah) ini salah, Kerajaan Pusat pun salah lah.
"Apabila Kerajaan Pusat buat (rumah mampu milik berharga RM400,000), dia (pembangkang Pulau Pinang) kata 'betul'. Apabila kita (Kerajaan Negeri) ikut apa yang Kerajaan Pusat buat, dia (pembangkang) kata 'tak betul'," ujar Guan Eng.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, projek pembinaan Dewan Bankuet & Sukan Bandar Seberang Jaya demi menampung kekurangan dewan untuk kegunaan awam warga setempat.
Difahamkan, kawasan pembangunan yang dicadangkan merangkumi 13,040 meter persegi dewan bankuet dan arena sukan.
Di atas 7,300 meter persegi kawasan pembangunan yang sama, sejumlah 560 parkir kereta, 187 parkir motor dan 12 parkir bas boleh dimuatkan dalam satu-satu masa.
Dewan itu boleh menampung 1,000 hadirin atau 100 meja bulat pada satu-satu masa.
Itu, tidak termasuk 30 meja makan dalam satu-satu masa bagi majlis jamuan luar dewan.
Kelengkapan lain, antaranya bilik-bilik pementasan, bilik mesyuarat, bilik AV, gelanggang futsal, badmininton dan bola keranjang.
Guan Eng berkata, dewan tersebut akan menjadi satu lagi usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah kendalian PDC demi keselesaan rakyat rakyat. -END
No comments:
Post a Comment