24 September 2012

Pentadbir universiti suruh mahasiswa sokong UMNO? – Zairil


SEBUAH video yang telah dimuatnaik ke laman YouTube menunjukkan bagaimana seorang pentadbir universiti mempengaruhi jawatankuasa kolej kediaman untuk menyokong kerajaan UMNO-BN rangka pilihanraya kampus membuktikan wujudnya campurtangan pentadbiran dalam pilihanraya kampus.

Video tersebut yang mendakwa Penolong Naib Canselor HEPA UTHM, Prof. Amir Hashim sedang mengugut jawatankuasa kolej kediaman supaya menyokong kerajaan telah didedahkan beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihanraya kampus minggu lalu.

Menurut Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY Zairil Khir Johari, jika isi kandungan video tersebut benar, maka ia jelas menunjukkan wujud campur tangan pihak pentadbiran universiti dalam mencatur pilihan raya kampus supaya dimenangi oleh calon-calon yang disenangi pihak pentadbiran.

“Campur tangan sebegini wajar dikutuk dan ditentang kerana ia merupakan satu pencabulan demokrasi yang jelas,” kata beliau.

“Sebarang usaha untuk mencatur pilihan raya kampus oleh pihak pentadbiran mestilah dihentikan,” tambahnya.

Zairil yang juga Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP turut berpandangan bahawa mahasiswa wajar diberi kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja daripada kalangan mereka untuk mewakili suara mereka di peringkat pentadbiran, dan bukannya menjadi suara pentadbiran kampus di kalangan mahasiswa.

Beliau mempersoalkan kenyataan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar dalam laporan Sinar Harian 21 September lalu  bahawa seratus peratus pemimpin mahasiswa yang bertanding adalah “calon Aspirasi UiTM”, yang disifatkannya sebagai menghairankan.

“Jika semua calon yang bertanding adalah calon Pro-Aspirasi, bagaimanakah yang dikatakan mereka ini dapat “kekal berkuasa” di Universiti Teknologi MARA? Siapakah lawan politik mereka jika bukan berlawan sesama sendiri? Apakah ini yang dinamakan demokrasi? Atau adakah ini sebenarnya “demokrasi terpimpin” ala Sukarno yang dipupuk oleh pihak universiti?” soal beliau.

Zairil turut menambah bahawa konsep Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menjadi amalan universiti-universiti pada hari ini amat mengelirukan apabila MPP seolah diarahkan untuk melaksanakan aspirasi dan dasar-dasar kerajaan.

“Saya tidak hairan jika ada segelintir mahasiswa yang melabelkan mereka sebagai “staf sokongan” kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar,” ujar beliau dalam kenyataannya kepada media hari ini.

Menurut beliau, universiti seharusnya menjadi medan percambahan idea, dan pilihan raya kampus adalah jalan terbaik untuk membuka ruang perdebatan dan mengasah kapasiti pemikiran mahasiswa.

“Adalah amat merugikan sekiranya mahasiswa dinafikan hak memilih dan bertanya jika mereka terus diancam dan diugut dengan sentimen kaum dan keamanan, dan seterusnya dididik untuk menjadi robot yang dihasilkan kilang-kilang sumber manusia untuk menjana ekonomi semata-mata, dan kekal bisu tidak menyoal,” kata Zairil.

Esok, pilihan raya kampus bagi 15 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bakal berlangsung selepas lima IPTA selesai memilih majlis perwakilan pelajar masing-masing minggu lalu. – Roketkini.com



No comments:

Post a Comment