22 July 2012

Salah faham budak jamaah mengenai 'ikhtilat'

"Pasangan paling cool 2012"
WAKTU saya di UM, saya jarang mendengar pemimpin PMiUM memperkatakan soal ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan perempuan.

Budak-budak PMiUM diajar tentang aqidah, dakwah, fikrah dan harakah. Sehingga yang bergentayangan atau 'kahwin awal' akan dilihat unik lagi sinikal walaupun budaya itu tidak semuanya sejajar dengan Islam.

Waktu saya pulang ke Pulau Pinang dan sekejap di Kedah, mahasiswa di sana begitu menitik beratkan soal-soal runcit, termasuk soal ikhtilat.

Sehinggakan, ada usrah khusus yang mengajar ikhtilat yang dibenarkan dan ikhtilat yang disalahkan menurut kebudayaan agama mereka masing-masing.

Dalam satu usrah di USM umpamanya, kebanyakan mahasiswi dari satu pertubuhan agama tidak sama dengan mahasiswa PMiUM yang saya kenali pada zaman kampus.

Mereka digalakkan bersosial dengan mahasiswi sahaja, dilarang bersosial dengan mahasiswa.

Sedangkan, mahasiswi di UM dicabar memimpin masyarakat yang di dalam sudah tentu rencam dengan kerenah mahasiswa nakal lagi plural.

Akhirnya saya melihat, dinamika itu ada di mahasiswa Islam Universiti Malaya dan bukan di USM kalau saya tidak salah cermat.

Saya melihat telatah segelintir mereka. Kalau mahasiswa Islam di sebelah, pasti tidak dikangkang waktu naik motor sehinggalah mahasiswa itu beredar pergi.

Tetapi, kalau Ah Kau atau Muthu di sebelah, tidak mengapa kalau dikangkang-kangkang naik motor kereka mereka ini bukan dari persatuan mahasiswa Islam.

Begitu juga kalau naik bus, segelintir mahasiswi Islam lebih rela bermusafir dengan duduk di sebelah Ah Kau atau Muthu dari duduk di sebelah Muhammad, sama-sama ahli persatuan mahasiswa Islam.

Dalam kamus pemikiran mereka, ikhtilat adalah tidak boleh bercampur atau bergaul dengan kenalan lain jantina dalam persatuan Islam.

Kalau di luar persatuan Islam, tidak mengapa.

Pada kefahaman tahap ini, dilihat Islam itu seakan tidak praktikal atau anti fitrah atau apa jua atas konotasi negatif.

Sedangkan, Islam mengangkat ikhtilatnya yang tersendiri, yang jauh dinamik dari apa yang difahami oleh mereka yang saya maksudkan di atas.

Asal hukum ikhtilat atau pergaulan adalah harus. Antara ikhtilat yang dibenarkan dalam Islam:-

1. ikhtilat dalam pengajian atau pembelajaran.

2. Ikhtilat dalam jual beli.

3. Ikhtilat dalam kehidupan sosial asalkan tidak bercampur dengan perkara-perkara haram atau perbuatan maksiat.

Dengan erti kata yang mudah, jangan disempitkan cara sosialisasi kita sedangkan Islam memberi ruang yang luas dalam ikhtilat.

Seorang naqib memberi tahu saya, sebenarnya maksiat itu tidak perlu menunggu seorang mahasiswa Islam duduk dengan mahasiswi Islam di tempat yang gelap.

Kalau seorang calon Ustaz berSMS lucah lagi lagha dengan seorang Ustazah di kampus dengan masing-masing bermuka warak pun sudah dianggap dekat pada maksiat dan berdosa.

Maka, semak diri sendiri dan kawan-kawan terutamanya yang ada dua mobile sebab ikhtilat yang diharamkan boleh terlaku dalam zahir dan batin sebenarnya.

Wallahu 'alam...


ZAINULFAQAR YAACOB
Kota Anggerik | 8:52pm

No comments:

Post a Comment